Inikah Nikmatnya Pembangunan
Posted on June 11, 2008 - Filed Under Sajak

Inikah nikmatnya pembangunan
hingga aku tak bisa lagi merasa apa-apa
selain dari pahit hempedu yang pecah
dirobek harimau singa meliar.
Untuk apa penbangunan ini
bila kita terjerut kepayahan
dan untuk apa kekayaan
bila kita merempat di jalanan
masih adakah nikmatnya
menjadi pengeluar minyak
bila kereta motor tersadai di tepi jalan.
Setelah tsunami berlalu
apakah harimau singa mahu mengacah taring
mencakar kuku melepas geram
pada marhain yang bosan
melihat enau dalam belukar
melepaskan pucuk ke langit tinggi
tak peduli lagi jika ranjau dan duri
mencucuk menikam merobek hati
para marhain lemas menggalas kaca yang pecah.
Kau taburkan gula-gula
biarkan terperangkap semut-semut
di lembah beracun
dan engkau meratah daging-daging empuk
dari projek juta-juta yang meniris kekantung mu
terima kasih tuan
teruskanlah pembangunan
biarkan aku terpinga-pinga di bawah jambatan
menutup telinga kebisingan
hingar bingar kenderaanmu
melaung merayu memohon pengorbanan
kami marhain yang sedang terkorban.
Apa lagi yang tinggal buat kami
untuk menikmati kekayaan negara
bila menara berkembar mercu kebanggaan
menjadi taring Dracula penghisap darah
dan kami marhain
menjadi ayam di kepuk;mati kelaparan.
Yajuk
Bukit Jering
06062008
Aku Ingin Berbaik sangka
Posted on June 11, 2008 - Filed Under Sajak

Aku ingin berbaik sangka
seperti kerbau di cucuk hidungnya
mahu aku ikut saja
kemana kau tarik talinya
tak mengapa jika kau pasang igunya
biar ku bajak seluruh sawah bendang
asal hidup tuan senang lenang.
Tapi aku bukan kerbau
yang boleh di tabur garam
pada rumput kering layu
untuk mengubah rasa dan selera
membuat aku suka
pada kata-kata berbunga dusta
dan hasil kerja meniris nista.
Telah ku cuba memujuk hatiku
untuk tidak merasa apa-apa
biar pahit atau pun masam
menganggap baik apa saja
memamah dan menelan
sajian yang kau hidangkan
tapi mampukah aku
menipu diriku selalu
kerna yang pahit bukan ubat
tapi hempedu yang pecah
dan yang masam adalah asam
penyebab perut di serang gastric.
Aku ingin berbaik sangka
tak mahu aku menanam dan membajai
benih-benih curiga dan syak wasangka
kerna kau dan aku perlu menjadi satu
menjaga dan membajai padi yang di tanam
biar lebat buahnya merunduk berisi
dan ingatlah selalu
kerbau di pegang talinya
manusia di pegang janjinya.
Yajuk
Bukit Jering
27052008
Aku Ingin Jadi Sabar
Posted on June 10, 2008 - Filed Under Sajak

Aku ingin jadi sabar
setenang air di kali
walau dicampak batu,kayu dan sampah
tak mahu resah dan marah-marah
tetap mengalir damai
menyusuri tebing dan benteng
membasahi lurah dan lembah
menunggu teratai berkembang
menghias pintu gua damai.
Aku tahu siapa aku
cuma insan kerdil yang tak punya apa-apa
selain akal fikir yang mahu bebas merdeka
mengomel dan membariskan kata-kata
menghisab dan menghitung bicara
yang sering kau terlupa
atau mahu mu melupakan
segala sumpah dan janji setia
nyata kau jadi penglipurlara
dan sumpah mu jadi sumpah dusta
sedang aku setia menanti
kau kotakan janji.
Maafkan aku
aku tak mahu marah-marah
juga tak mahu mengomel selalu
aku mahu jadi sabar
sejuk beku sesejuk salju di puncak gunung
tapi aku sudah letih
penat menjadi penonton sandiwara
kau yang lara di puncak kuasa
sering menitiskan percikan api nista
yang menimbul riak gelombang di air tenang
dan aku hangus terbakar bermandi darah
dipanah kilat petir sabung menyabung
menggalas dan menjunjung biawak hidup.
Aku ingin jadi sabar
melihat saja harimau singa menggilap taring
mencakar kuku meratah mangsa
tapi aku tak mampu lagi
untuk jadi bisu dan menggeleng kepala
kerana yang menjadi mangsa
terluka dan tercalar itu
adalah aku dan semua kita para marhain.
Yajuk
Bukit Jering
26052008